CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Langit Ilahi Store

Monday, December 5, 2011

perniagaan yang PASTI untung





Kalau sebut pasal perniagaan, mesti ramai yang terbayangkan duit? Dan ada juga yang akan fikir kalau berniaga mesti akan kaya kan? Tapi, ada juga yang akan fikir, "aku ni mana ada modal, nak meniaga mana boleh" dan juga akan ada suara yang mengatakan, "tak mahu la meniaga ni, nanti kang rugi pulak". Tapi yang pastinya, ramai yang ingin memulakan perniagaa kerana hasil yang kan kita dapat, iaitu DUIT. Yelah, zaman sekarang ni, semua benda perlukan duit.


Dan, hakikatnya, ramai yang berminat bilamana mendengar tentang perniagaan yang menguntungkan, malah teruja bilamana keuntungan yang ditawarkan berlipat-lipat ganda. 


Hari ini saya hendak kongsikan satu peluang perniagaan yang amat menguntungkan. Perniagaan yang di jamin akan keuntungannya.


Allah swt berfirman di dalam surah As-Saff ayat 10-11 maksudnya,


(10) Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? 

(11) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). 



Dalam ayat ke 10 itu ia adalah wasiat dan panduan serta bimbingan dari Allah Yang Maha Penyayang untuk hamba hamba-Nya yang beriman tentang perniagaan yang paling agung iaitu perniagaan yang dapat menghindarkan mereka daripada azab yang sangat pedih dan memperolehi pulangan nikmat yang paling istimewa.

Wasiat ini disampaikan oleh Allah dalam bentuk tawaran. Ini menunjukkan bahawa perniagaan yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang menarik minat sesiapa yang mahu mengambil iktibar dan bagi orang yang mahu memikirkannya. Jadi seolah olah Allah ingin bertanya: Perniagaan apakah yang sedemikian hebat pulangannya itu? Lalu Allah sendiri menjelaskannya: 

(11) (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan hartamu dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. 

  • Maka dengan itu Perniagaan yang sangat hebat pulangannya ialah:

1. Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
2. Berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.

Sebagaimana kita maklum bahawa iman yang sempurna ialah keyakinan yang teguh terhadap kebenaran Allah dan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasul-Nya. Keyakinan yang membuahkan amalan anggotanya. Keimanan yang sebenarnya akan mendorong seseorang untuk berjihad di jalan Allah, apakah dengan harta ataupun dengan jiwanya.

Al Jihad Fi Sabilillah sangat banyak jenisnya. Jangan kita ingat hanya Jihad berperang sahaja. Antara maksud Jihad ADALAH Jihad melawan musuh di medan pertempuran untuk membela dan menegakkan agama Allah, jihad terhadap diri sendiri dengan melawan kehendak nafsu syahwat yang liar, jihad di antara diri dengan makhluk lain seperti menghindarkan sifat tamak terhadap harta orang lain (khianat, menipu, mencuri dll), tetapi sebaliknya hormat, berlemah lembut, pemurah terhadap mereka, jihad diantara dirinya dengan dunia iaitu agar dunia jangan sampai menguasai dirinya. Dia akan sentiasa waspada terhadap pendapatan (income) dari sumber yang haram, dia tahu kemana hartanya mesti dinafkahkan, samada nafkah wajib seperti mengeluarkan zakat, menyara tanggungan seperti isteri dan anak anak ataupun nafkah sunat seperti sedekah.



Jihad berasal dari kata " Juhd " iaitu masyaqqah yang maknanya sukar atau susah. Sedangkan Sabillillah maksudnya jalan yang akan membawa seseorang kepada keredhaan Allah. Jadi maksud Al Jihad Fi Sabilillah ialah amal salih atau segala bentuk usaha atau kesungguhan yang dilakukan dengan tujuan semata mata untuk mencapai keredhaan Allah.

" Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui ". dalam ayat 11 di atas maksudnya: Iman dan jihad adalah lebih baik bagi kamu daripada segala sesuatu yang ada dimuka bumi ini samada jiwamu, hartamu ataupun anak anakmu sekiranya kamu orang yang faham, berakal waras dan mempunyai wawasan yang jitu. Sebab hakikat sesuatu kebaikan adalah sangat tergantung pada kebaikan kesudahannya bukan hanya pada pemulaannya.

Atas sebab inilah mengapa pada ayat berikutnya Allah dahulukan ganjaran ukhrawi kemudian barulah disusuli oleh ganjaran duniawi. Jadi perniagaan tersebut menghasilkan beberapa faedah, iaitu faedah yang segera dan faedah yang ditangguhkan. Di dalam ayat di atas Allah dahulukan dengan faedah yang ditangguhkan di akhirat nanti iaitu:

(12) Nescaya Allah akan mengampuni dosa dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

Maksudnya: Jika kamu lakukan perniagaan diatas iaitu dengan sentiasa memantapkan iman dan berjihad di jalan Allah nescaya Dia akan hapuskan semua kesalahanmu, memasukkan kamu ke dalam syurga-Nya dan ditempatkan di suatu tempat yang paling indah dan istimewa yang menjadi idaman setiap insan yang waras. Mereka kekal abadi di dalamnya. Inilah keuntungan yang hakiki (sebenarnya). Dan kemudian Allah susuli pula dengan pulangan segera di dunia ini, iaitu:

(13) Dan (ada lagi) kurnia atau nikmat yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman.

Selain dari ganjaran yang ditangguhkan di akhirat, mereka juga akan dianugerahkan oleh Allah dengan ganjaran segera di dunia ini iaitu berupa pertolongan Allah untuk mengalahkan musuh musuhmu dan mendapat kemenangan atau penaklukan negeri negeri baru sehingga akan tegaklah hanya agama Allah di muka bumi ini.

Allah SWT akan senantiasa bersama mereka dalam segala usaha dan perjuangan mereka untuk menegakkan agama Allah. Ini adalah permulaan berita gembira untuk mereka yang beriman dan berjihad di jalan Allah.

Atas sebab itulah Allah menyuruh kita agar menjadi penolong-Nya dalam setiap waktu. Jangan menjadi manusia pemalas hanya pasrah tidak berusaha untuk menegakkan kebenaraan, jangan takut menyatakan dan membela kebenaran (Al Haq) walaupun pahit padahnya. Kita mestilah mempunyai prinsip bahawa redha Allah adalah mengatasi segala galanya, walaupun untuk mencapainya kita terpaksa berhadapan dengan kemurkaan dan cacian semua makhluk di muka bumi ini.

Allah pasti menolong hamba-Nya yang berusaha menegakkan agama-Nya sebagaimana Allah telah menolong pengikut pengikut setia Nabi 'Isa Alaihis Salam.

(14) Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolong penolongku (untuk menegakkan agama Allah)? Pengikut pengikut yang setia itu berkata: Kamilah penolong penolong agama Allah. Lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang orang beriman terhadap musuh musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.

Dalam ayat ini selain Allah menyuruh kita agar menjadi penolong-Nya, juga Allah berjanji akan membantu kita dalam menghadapi setiap cabaran dan tantangan dari pihak musuh yang membenci ajaran yang dibawa oleh Rasul-Nya. Ini sebagaimana pertolongan dan kemenangan yang Allah anugerahkan kepada pengikut penyikut setia Nabi 'Isa Alaihis Salam.

Allah SWT. menceritakan dalam ayat diatas bahawa Bani Israil terbahagi menjadi dua puak dalam menghadapi tawaran Nabi Isa tersebut. Ada puak yang beriman dan ada pula puak yang kafir (ingkar). Dan menurut sejarah bahawa puak yang ingkar itu terbahagi lagi menjadi dua puak: (1) Puak yang menentang ajaraan Isa dan menuduh beliau dan ibunya telah melakukan perbuatan terkutuk (zina). Ini sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi, (2) Puak yang melampau memuji Nabi Isa sehingga mereka beranggapan Isa adalah anak Allah.

Kisah ini seolah olah memberi isyarat supaya kita umat Nabi Muhammad SAW jangan sampai bersikap demikian terhadap baginda SAW. Kita mestilah " i’tidal " dalam segala hal, tidak " tatarruf ’ yakni mengurangi kedudukannya dan tidak pula " itraaf " yakni melampaui kedudukan yang telah Allah berikan padanya.






No comments:

Post a Comment