CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Langit Ilahi Store

Tuesday, November 29, 2011

'Setiap yang berlaku ada HIKMAHnya' tetapi "ramai yang tidak menyedari"

Kadang2 kita sering mendengar orang mengungkap pabila berlaku sesuatu musibah :-

>sabarlah,pasti ada hikmah disebalik semua yang terjadi ni<

ataupun,ada juga yang berkata :-

>kita kalau nak buat sesuatu perlu dengan hikmah<

"HIKMAH" satu ungkapan yang simple tetapi mempunyai kuasa yang sangat luar biasa.

takrif HIKMAH

Berkata Ibn Jurir, hikmah adalah segala yang diturunkan oleh Allah s.w.t dalam kitabNya, sunnah-sunnah Nabinya, juga peringatan-peringatan yang baik, kerana ia mengandungi tegahan-tegahan, juga mengandungi peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam umat manusia, mengingatkan kepada mereka supaya mereka berhati-hati dengan azab Allah. (2) (Ibn Jurair dalam ulasannya menggabungkan antara hikmah dan mau’izoh hazanah sebagai satu jalan dakwah.)

Pendapat yang sama diberikan oleh Professor Mohd Ali As-Sobuni yang menyatakan bahawa seruan dakwah ke jalan Tuhan perlulah dijalankan dengan ( uslub yang bijaksanana, lemah lembut, dengan sesuatu yang dapat memberi kesan kepada mad’u juga memberi faedah, dan bukannya dengan tengkingan, celaan, atau dengan cara yang keras.)(3) Ini adalah ulasan beliau ketika menerangkan perkataan hikmah yang digabungkan dengan mau’izoh sebagai satu konsep dakwah.



Surah Al-Nahl ayat 125:

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين

Mafhumnya : Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbantahlah ( berdebatlah ) dengan mereka dengan ( jalan ) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk (1) 


hakikatnya semua perkara yang terjadi didunia ini,samada terjadi pada diri kita sendiri ataupun orang sekeliling kita adalah hikmah dari yang MAha AGUNG. Cumanya, kadang-kadang kita perasan hikmahnya tetapi selalunya kita tidak tahu.

Sebagaimana rentetan hidup Nabi Allah Yusuf a.s , kisah hidupnya penuh dengan hikmah yang boleh diambil pelajaran oleh umat kini.

Jika ada antara kita yang mengenal Nabi Yusuf a.s hanyalah kerana rupa parasnya yang kacak, saya sarankan untuk kita mentadabur tafseer surah ke-12 dalam AlQuran, surah Yusuf. Betapa besar mesej yang ingin Allah sampaikan tentang hakikat dan hikmah kehidupan dalam kisah ini.
Surah ini dimulai dengan suasana yang sangat menarik; Nabi Yusuf bercerita kepada ayahnya tentang mimpinya melihat 12 bintang, bulan dan matahari sujud kepadanya. Kemudian Allah menceritakan bagaimana rancangan jahat saudara-saudaranya, bagaimana baginda dicampak ke dalam perigi, terpisah dengan keluarganya, dijual dengan harga yang rendah untuk dijadikan budak, dimasukkan kedalam penjara dan kemudiannya dibebaskan dan dilantik menjadi Penasihat Raja Mesir. Bayangkan sewaktu berada di dalam penjara, pastinya baginda akan banyak berfikir tentang kehidupannya.
Adakah kita berasa baginda pernah membayangkan suatu ketika dahulu kehidupannya akan seperti itu? Sudah pasti tidak! Baginda bahkan merupakan anak kesayangan ayahnya, menjalani kehidupan yang sangat tenteram dan bahagia. Tidak akan pernah terlintas difikirannya akan menghadapi ujian sebegitu hebat sehingga seolah-olah pada suatu ketika seperti tidak nampak akan jalan keluarnya. Tetapi apakah sikap Nabi Yusuf? Bagaimanakah reaksi Nabi Yusuf terhadap ujian-ujian ini? Baginda malah sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Tidak mengeluh, redha dan pasrah, terus mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Sehingga di penghujung cerita, sewaktu bertemu kembali dengan semua ahli keluarganya, apakah yang telah diucapkan baginda?
“…Wahai ayahku inilah takwil mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah setan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Sehingga ke akhirnya, Nabi Yusuf berbaik sangka kepada Allah. Dan hasil baik sangkanya ini, baginda akhirnya dapat melihat hikmah daripada setiap perkara yang telah berlaku dalam kehidupannya. Baginda akhirnya mengetahui maksud mimpinya yang terdahulu itu. Rupa-rupanya kehidupan yang penuh dengan rintangan dan dugaan itu adalah untuk menyediakannya dan mengangkat darjatnya untuk menjadi nabi dan menteri raja. Bukan sekadar itu, tarbiyah kehidupan yang dialaminya itu juga telah berjaya membentuknya menjadi menteri yang tawadhuk dan bersedia memaafkan. Kesemua saudaranya dimaafkan walaupun baginda mempunyai kuasa untuk menghukum mereka. Subhanallah.
       Begitu juga dengan hidup kita di zaman ini,Kita jangan mudah melatah apabila ditimpa musibah dan bala kerana yakinlah , tiada kebahagiaan yang kekal abadi di muka bumi ini kerana hidupnya kita didunia ini adalah untuk DIUJI dan kebahagiaan serta kemenangan yang sebenar akan menanti kita di akhirat sana jika benar kita adalah golongan yang BERIMAN dan SABAR.
p/s>> yakinlah dengan janji-janji ALLAH


Saturday, November 26, 2011

Doa awal dan akhir tahun hijrah (adakah BENAR atau BATIL)





Berikut adalah doa yang dimaksudkan:

Awal tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

Akhir tahun
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam".

Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering kelihatan:

Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu".

Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun".

Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan".

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah.

Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam.

Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya hasil pencarian kami tidak membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sittah, malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya namun hasilnya serupa, hampa.

Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari ulama-ulama luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih.

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang beerti:
Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak.

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Dan Allah Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud:
Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka. Hadis Mutawtir

Ibnu Masud pernah berkata yang bermaksud:
Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw).

Ibnu Abbas juga pernah berkata:
Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru.




Kesimpulan


Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menaylahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun.

Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud:
Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bidah manakala setiap bidah adalah sesat. Hadis riwayat Muslim

Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan:
.dan setiap kesesatan itu di dalam neraka.

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya ada awal dan akhir tahun sahaja.

Beginilah pendapat dan pegangan kami. Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya kami hanyalah hamba Allah yang lemah.

Sekian. Wassalam

Rujukan
Fatwa Islamiyah
-Sheikh Abdul Aziz bin Baz
-Sheikh Muhammad bin Salih Al-Uthaimin
-Sheikh Abdullah bin Abdur-Rahman Al-Jibreen
-The Permanent Committee and the decisions of Fiqh Council
Disusun oleh Muhammad bin Abdul Aziz al-Musnad

Khilafiah, Bid'ah dan Maslahah Umum
Oleh Ustaz Basri Ibrahim

Bid'ah Menurut Ahli Sunnah
Oleh Rasul Dahri

Dua The Weapon of the Believer
Oleh Abu Ammaar Yasir Qadhi


Islam Question and Answer website
  


www.al-ahkam.com.my

LAIN-LAIN

Thursday, November 24, 2011

Mencetak generasi yang soleh dan solehah


Allah mengurniakan alam semesta ini bukan hanya untuk dinikmati, tetapi juga untuk di tadabburi, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari buah yang tumbuh…
Semestinya buah yang elok bentuknya, manis rasanya, hanya berasal dari pohon yang baik, tanah yang subur dan dijaga penuh rapi. Ini adalah perumpamaan yang sangat sederhana dan mudah untuk difahami bagi setiap ibu bapa yang mahukan anak yang soleh dan solehah. Tanah yang subur dan pohon yang baik adalah perumpamaan untuk kedudukan dan fungsi ibu bapa, sedangkan buah yang baik, ibarat seorang anak yang tumbuh dalam bimbingan kedua orang tuanya.
Perumpamaan ini memberikan pelajaran kepada kita,…untuk mendapat anak yang soleh dan solehah, maka yang utama sekali harus diperhatikan dan diperbaiki adalah kesolehan kedua orang tuanya.
Dalam contoh sederhana, ketika ibu bapa….tidak ingin anaknya berbohong, maka janganlah sekali-kali para ibu bapa, baik ibu atau ayah mengajarkan cara berbohong kepada anaknya, atau ketika mereka ingin agar anaknya rajin dalam beribadah,maka orang tuanya dululah yang sebaiknya rajin beribadah…
Tentunya,perkara ini tidak akan menjadi satu hal yang sulit, kerana islam sebelumnya telah mengajarkan kepada manusia agar mereka berusaha untuk menjadi lelaki dan wanita yang soleh. Islam memberikan petunjuk kepada mereka pada saat sebelum bernikah, pada saat bernikah, dan pada saat di amanahkan keturunan. Keluarga Imran, adalah satu contoh yang Allah abadikan dalam Al Quran, dari pasangan suami dan isteri yang soleh, seterusnya kepada anak yang soleh.
Pada saat pohon itu tumbuh, memberikan baja dan air yang cukup tentunya adalah perkara yang sangat berpengaruh pada buah yang akan dihasilkan. Demikian pula dengan anak. Memberinya makanan yang baik adalah perkara yang sangat penting.. makanan dalam konteks keperluan manusia tidak hanya makanan yang bersifat jasmani, tetapi yang lebih penting lagi adalah makanan yang bersifat rohani..
Memberikan makanan tidak hanya terfokus pada zat dari makanan itu sendiri, termasuk dalam konteks ini adalah…, cara mendapatkan rezeki yang halal yang nantinya diberikan kepada anak-anak adalah  perkara yang sangat penting yang perlu diperhatikan oleh kedua orang tua. Berbagai macam kajian membuktikan, memberi makanan, melalui cara yang halal sangat mempengaruhi perilaku tidak hanya seorang anak, tetapi juga, perilaku kedua orang tuanya.
Sedangkan dalam konteks makanan jiwa, mengajarkan mereka dari awal usia untuk mengenal rukun iman, adalah hal yang sangat penting. Lalu, dilanjuti dengan membiasakan mereka untuk melakukan ibadah yang diwajibkan, dan melakukan pelbagai macam amal soleh yang diperlukan dalam pergaulan. Tentunya,contoh tauladan yang nyata dari akhlak orang tua merupakan hal yang sangat terpengaruh dalam perkara ini.


Pada proses bunga mulai muncul dan tumbuh buah.. perlindungan terhadap hama, serangga, binatang yang dapat menggangunya adalah satu hal yang perlu dilakukan. Walaupun buah itu berasal dari tanah yang subur dan pohon yang baik, tetapi pada masa pertumbuhannnya, hama atau serangga yang merugikan,… dapat menghancurkannya.
Tentunya, adalah tugas bagi para ibu bapa untuk melindungi anaknya dari pelbagai perkara yang membahayakan dirinya yang datang dari luar lingkungan keluarga.
Lingkungan, adalah salah satu faktor yang memiliki kesan yang besar terhadap perilaku anak. Memilih lingkungan yang baik, memberikannya pendidikan dan sekolah yang baik, teman-teman bergaul yang baik, membatasi pelbagai informasi yang akan diserap dan ditiru oleh sang anak dari pelbagai media, seperti televisyen, radio, majalah, dan sebagainya. Adalah satu perkara yang perlu mendapat perhatian penting.
Kerana boleh jadi, walaupun kedua orang tuanya soleh, tetapi kerana kelengahan orang tuanya dalam memperhatikan aspek lingkungan anak-anak mereka,Mereka membesar dengan perilaku yang tidak sesuai dengan harapan. Al Quran juga memberikan contoh tentang perkara ini kepada kita, melalui keluarga Nabi Nuh, walaupun ayah mereka seorang Nabi, tetapi anak mereka kan’an termasuk dalam golongan yang kafir..
Anak, adalah amanah Allah. Allah mengangkat wali dari setiap bayi yang lahir dalam keadaan suci, agar ia boleh kembali kepada Allah dalam keadaan yang suci. Dan wali itu adalah ibu bapa… hal ini sebagaimana sabda Rasulullah saw ;
 “Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah-Islami). Ayah dan ibunya lah kelak yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (penyembah api dan berhala). (HR. Bukhari)
Sebagai ibu bapa, tentunya masih banyak perkara yang perlu diketahui agar dapat memperoleh anak yang soleh, memperbaiki diri, berusaha menjadi teladan dan memberikan yang terbaik, adalah sebuah proses yang perlu di nikmati..
Wallahu’alam.

Wednesday, November 2, 2011

FARDHU DAN WAJIB





Nash atau dalil yang terdapat di dalam syariat Islam terbahagi kepada dua, iaitu:
1. Qath'ie (eja: qaf - alif - tho - 'ain - ya)
Iaitu setiap dalil yang diperolehi melalui jalan mutawatir.
Muatawatir ialah pemberitaan atau perkhabaran yang diriwayatkan oleh sejumlah orang yang ramai. Sehinggakan, dengan ramainya jumlah berkenaan diyakini amat mustahil untuk berlakunya pendustaan atau tokok tambah terhadap cerita atau perkhabaran yang dibawa.



Contohnya begini, ada 40 orang yang melihat satu kejadian, ada masjid terbakar! Mereka ini menceritakan kejadian tersebut kepada orang lain. Setiap orang paling kurang seorang. Kemudian orang yang pada tahap ini menceritakan kejadian berkenaan pada orang pada tahap berikutnya. Begitulah seterusnya. Ceritanya sama. Apakah mungkin bilangan seramai ini pada setiap tahap akan melakukan pendustaan terhadap ceritanya. Sudah tentu mustahil. Tidak mungkin bilangan seramai itu berjumpa antara satu dengan lain berpakat-pakat untuk mengada-adakan cerita. jadi, mahu ataupun tidak kita kena percaya cerita berkenaan. 

Begitulah yang terjadi kepada dalil-dalil syarak. Mana yang diriwayatkan pada setiap tahap oleh sejumlah orang yang begitu ramai, maka sudah pasti ianya betul. Tidak perlu dikoreksi, dikaji selidik atau disiasat-siasat lagi. Ambil dan yakin. Atau ambil dan telan. 

Itulah dia dalil qahti'i. Kita wajib yakin dan percaya. Bahkan barang siapa yang ragu-ragu atau menolak terus dalil-dalil yang qaht'i, dihukumkan sebagai murtad. Wal'iazubillah. 

Al-Quran yang ada ditangan kita sekarang ini, mashaf Uthmani diambil dari riwayat mutawatir. Oleh itu al-Quran adalah dalil dan nas qath'i. 

Hadis pula, ada yang diriwayatkan melalui jalan mutawatir, ia disebut sebagai Hadis Mutawatir. Ini juga kena ambil, yakin dan telan. Contohnya ialah hadis: 
"Barangsiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka neraka adalah tempat yang sesuai untuknya." Ia diriwayatkan oleh sejumlah periwayat yang begitu ramai pada setiap tahap, sehingga mustahil akan berlakunya pendustaan. 

Contoh lain, ialah cara kita mengerjakan sembahyang dan bilangan rakaat dalam sembahyang. Ia diperolehi melaui periwayatan mutawatir. Yang ini lagi ramai periwayatnya. Siapa dia? Kitalah periwayatnya, dan orang-orang pada jenerasi sebelum kita, dan jenerasi sebelum kita, dan jenerasi sebelum kita, dan jenerasi sebelum kita...... Sampai kepada Rasulullah s.a.w. Periwayatan ini dilakukan secara amali. Kamu... Ibubapa/ustaz kamu yang mengajar cara bersolat, nanti kamu ajar pada anak kamu, begitulah seterus sampai kiamat. 



2. Zhanni (eja: zho - nun -nun-ya)
Iaitu setiap dalil yang diperolehi melalui jalan ahad.
Perkhabaran yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w., jika diriwayatkan oleh orang yang jumlahnya sedikit (tidak mencecah jumlah mutawatir), maka ia disebut sebagai hadis Ahad. Sedikit itu berapa? Tidak ada ketentuan. Pokoknya, jumlah yang memungkinkan berlakunya pendustaan terhadap periwayatan tersebut.

Setiap Hadis Ahad yang sampai perlu diteliti dahulu, disiasat dan dikoreksi. Siapa yang bawa cerita ni. baik ke? Jahat ke? Soleh ke? Fasik ke? Penipu ke? Kuat ingatan ke? Pelupa ke? Kaki bodek raja ke? Dan macam-macam lagi.. Kalau lulus dengan baik soal siasat ini, hadis itu akan dilabelkan sebagai hadis Shohih. Kalau lulusnya sederhana, akan dilabelkan sebagai hadis Hasan. Dan kalau gagal, akan dilabelkan sebagai hadis dhoif.

Jadi, hadis shohih dan hasan inilah yang dikatakan sebagai nash atau dalil zhanni.

(2)
Menurut jumhur ulamak hukum taklifi terbahagi kepada 5 bahagian, iaitu:
1. Wajib - Buat dapat pahala, tinggal berdosa
2. Mandub - Buat dapat pahala, tinggal tidak berdosa
3. Haram - Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala
4. Makruh - Buat tidak berdosa, tinggal dapat pahala
5. Harus - Buat ke, tak buat ke, tak dapat apa-apa.

Hukum taklifi menurut mazhab Hanafi terbahagi kepada 7, iaitu:
1. Fardu - Buat dapat pahala, tinggal berdosa - Disabitkan oleh dalil qath'i
2. Wajib - Buat dapat pahala, tinggal berdosa - Disabitkan oleh dalil Zhanni.
3. Mandub - Buat dapat pahala, tinggal tidak berdosa - Disabitkan oleh
dalil qath'i
4. Tahrim/haram - Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala - Disabitkan oleh
dalil Zhanni.
5. Karahah tahrim - Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala
6. Karahah tanzih - Buat tidak berdosa, tinggal dapat pahala
7. Mubah - Buat ke, tak buat ke, tak dapat apa-apa. 







 perbezaan antara fardu dan wajib dalam mazhab Hanafi - perbezaan dari sumber dalil. Jika ia disabitkan dengan dalil qath'i, disebut fardu seperti rukun Islam yang lima, itu fardu kerana disabitkan melalui ayat al-Quran. Sembahyang lima waktu, ia adalah fardu. Membaca al-Quran di dalam sembahyang, ia adalah fardu kerana sumbernya adalah dari hadis mutawatir.

Jika sumbernya adalah dalil zhanni, ia dikatakan sebagai wajib. Seperti membaca fatihah di dalam sembahyang, ia wajib kerana sumbernya adalah hadis ahad. Begitu juga dengan sembahyang witir dan sembahyang dua hari raya.

Jumhur ulamak berpendapat, tidak kira samada ia bersumberkan dalil yang qath'i atau zhanni, ia dinamakan dengan wajib ataupun fardu. Wajib dan fardu bagi mereka tak ada bezanya.

Baiklah, percanggahan pendapat antara kedua-dua golongan ini apakah memberi kesan pada cabang-cabang amalan? Al-Amidi, al-Razi dan sebahagian ulamak berkata, itu cuma perbezaan memberi istilah sahaja. Sedangkan amalannya, mesti kena buat, kalau tinggal berdosa hukumnya. Kemudian masing-masing mengatakan kalau mengengkari yang disabitkan dengan dalil qath'i kafir jadinya. Jika dengan dalil zhanni tidak kafir.

Cuma, ada sedikit yang meninggalkan kesan terhadap amalan fikah:
Contoh, Hanafi mengatakan, jika tidak membaca ayat al-Quran di dalam sembahyang, batal hukumnya. Kerana ia disabitkan dengan dalil qath'i. Manakala jika tidak baca fatihah, sembahyangnya tetap sah, tidak batal. Hanya berdosa. Kerana ia disabitkan dengan dalil zhanni (hadis ahad).

Manakala jumhur ulamak mengatakan meninggalkan membaca fatihah di dalam sembahyang boleh mengakibatkan batal sembahyangnya. 



Rujukan
1. Usul Feqh - Khudari Bek
2. Usul Feqh - Dr. Wahbah al-Zuhaili
Tentang pembahagian hadis dan peristilahannya, sila dapatkan penjelasan lebih lanjut di kitab-kitab mustalah hadis.



aL-AHKAM online.

Tuesday, November 1, 2011

salam eidul adha

Asal-Usul



Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.
Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”
Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.


Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111


Pengenalan



Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: ??? ?????? 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.






Hari Raya Eidiladha Dalam Hadis



Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)


Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."