CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Langit Ilahi Store

Wednesday, November 2, 2011

FARDHU DAN WAJIB





Nash atau dalil yang terdapat di dalam syariat Islam terbahagi kepada dua, iaitu:
1. Qath'ie (eja: qaf - alif - tho - 'ain - ya)
Iaitu setiap dalil yang diperolehi melalui jalan mutawatir.
Muatawatir ialah pemberitaan atau perkhabaran yang diriwayatkan oleh sejumlah orang yang ramai. Sehinggakan, dengan ramainya jumlah berkenaan diyakini amat mustahil untuk berlakunya pendustaan atau tokok tambah terhadap cerita atau perkhabaran yang dibawa.



Contohnya begini, ada 40 orang yang melihat satu kejadian, ada masjid terbakar! Mereka ini menceritakan kejadian tersebut kepada orang lain. Setiap orang paling kurang seorang. Kemudian orang yang pada tahap ini menceritakan kejadian berkenaan pada orang pada tahap berikutnya. Begitulah seterusnya. Ceritanya sama. Apakah mungkin bilangan seramai ini pada setiap tahap akan melakukan pendustaan terhadap ceritanya. Sudah tentu mustahil. Tidak mungkin bilangan seramai itu berjumpa antara satu dengan lain berpakat-pakat untuk mengada-adakan cerita. jadi, mahu ataupun tidak kita kena percaya cerita berkenaan. 

Begitulah yang terjadi kepada dalil-dalil syarak. Mana yang diriwayatkan pada setiap tahap oleh sejumlah orang yang begitu ramai, maka sudah pasti ianya betul. Tidak perlu dikoreksi, dikaji selidik atau disiasat-siasat lagi. Ambil dan yakin. Atau ambil dan telan. 

Itulah dia dalil qahti'i. Kita wajib yakin dan percaya. Bahkan barang siapa yang ragu-ragu atau menolak terus dalil-dalil yang qaht'i, dihukumkan sebagai murtad. Wal'iazubillah. 

Al-Quran yang ada ditangan kita sekarang ini, mashaf Uthmani diambil dari riwayat mutawatir. Oleh itu al-Quran adalah dalil dan nas qath'i. 

Hadis pula, ada yang diriwayatkan melalui jalan mutawatir, ia disebut sebagai Hadis Mutawatir. Ini juga kena ambil, yakin dan telan. Contohnya ialah hadis: 
"Barangsiapa yang berdusta ke atasku secara sengaja, maka neraka adalah tempat yang sesuai untuknya." Ia diriwayatkan oleh sejumlah periwayat yang begitu ramai pada setiap tahap, sehingga mustahil akan berlakunya pendustaan. 

Contoh lain, ialah cara kita mengerjakan sembahyang dan bilangan rakaat dalam sembahyang. Ia diperolehi melaui periwayatan mutawatir. Yang ini lagi ramai periwayatnya. Siapa dia? Kitalah periwayatnya, dan orang-orang pada jenerasi sebelum kita, dan jenerasi sebelum kita, dan jenerasi sebelum kita, dan jenerasi sebelum kita...... Sampai kepada Rasulullah s.a.w. Periwayatan ini dilakukan secara amali. Kamu... Ibubapa/ustaz kamu yang mengajar cara bersolat, nanti kamu ajar pada anak kamu, begitulah seterus sampai kiamat. 



2. Zhanni (eja: zho - nun -nun-ya)
Iaitu setiap dalil yang diperolehi melalui jalan ahad.
Perkhabaran yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w., jika diriwayatkan oleh orang yang jumlahnya sedikit (tidak mencecah jumlah mutawatir), maka ia disebut sebagai hadis Ahad. Sedikit itu berapa? Tidak ada ketentuan. Pokoknya, jumlah yang memungkinkan berlakunya pendustaan terhadap periwayatan tersebut.

Setiap Hadis Ahad yang sampai perlu diteliti dahulu, disiasat dan dikoreksi. Siapa yang bawa cerita ni. baik ke? Jahat ke? Soleh ke? Fasik ke? Penipu ke? Kuat ingatan ke? Pelupa ke? Kaki bodek raja ke? Dan macam-macam lagi.. Kalau lulus dengan baik soal siasat ini, hadis itu akan dilabelkan sebagai hadis Shohih. Kalau lulusnya sederhana, akan dilabelkan sebagai hadis Hasan. Dan kalau gagal, akan dilabelkan sebagai hadis dhoif.

Jadi, hadis shohih dan hasan inilah yang dikatakan sebagai nash atau dalil zhanni.

(2)
Menurut jumhur ulamak hukum taklifi terbahagi kepada 5 bahagian, iaitu:
1. Wajib - Buat dapat pahala, tinggal berdosa
2. Mandub - Buat dapat pahala, tinggal tidak berdosa
3. Haram - Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala
4. Makruh - Buat tidak berdosa, tinggal dapat pahala
5. Harus - Buat ke, tak buat ke, tak dapat apa-apa.

Hukum taklifi menurut mazhab Hanafi terbahagi kepada 7, iaitu:
1. Fardu - Buat dapat pahala, tinggal berdosa - Disabitkan oleh dalil qath'i
2. Wajib - Buat dapat pahala, tinggal berdosa - Disabitkan oleh dalil Zhanni.
3. Mandub - Buat dapat pahala, tinggal tidak berdosa - Disabitkan oleh
dalil qath'i
4. Tahrim/haram - Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala - Disabitkan oleh
dalil Zhanni.
5. Karahah tahrim - Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala
6. Karahah tanzih - Buat tidak berdosa, tinggal dapat pahala
7. Mubah - Buat ke, tak buat ke, tak dapat apa-apa. 







 perbezaan antara fardu dan wajib dalam mazhab Hanafi - perbezaan dari sumber dalil. Jika ia disabitkan dengan dalil qath'i, disebut fardu seperti rukun Islam yang lima, itu fardu kerana disabitkan melalui ayat al-Quran. Sembahyang lima waktu, ia adalah fardu. Membaca al-Quran di dalam sembahyang, ia adalah fardu kerana sumbernya adalah dari hadis mutawatir.

Jika sumbernya adalah dalil zhanni, ia dikatakan sebagai wajib. Seperti membaca fatihah di dalam sembahyang, ia wajib kerana sumbernya adalah hadis ahad. Begitu juga dengan sembahyang witir dan sembahyang dua hari raya.

Jumhur ulamak berpendapat, tidak kira samada ia bersumberkan dalil yang qath'i atau zhanni, ia dinamakan dengan wajib ataupun fardu. Wajib dan fardu bagi mereka tak ada bezanya.

Baiklah, percanggahan pendapat antara kedua-dua golongan ini apakah memberi kesan pada cabang-cabang amalan? Al-Amidi, al-Razi dan sebahagian ulamak berkata, itu cuma perbezaan memberi istilah sahaja. Sedangkan amalannya, mesti kena buat, kalau tinggal berdosa hukumnya. Kemudian masing-masing mengatakan kalau mengengkari yang disabitkan dengan dalil qath'i kafir jadinya. Jika dengan dalil zhanni tidak kafir.

Cuma, ada sedikit yang meninggalkan kesan terhadap amalan fikah:
Contoh, Hanafi mengatakan, jika tidak membaca ayat al-Quran di dalam sembahyang, batal hukumnya. Kerana ia disabitkan dengan dalil qath'i. Manakala jika tidak baca fatihah, sembahyangnya tetap sah, tidak batal. Hanya berdosa. Kerana ia disabitkan dengan dalil zhanni (hadis ahad).

Manakala jumhur ulamak mengatakan meninggalkan membaca fatihah di dalam sembahyang boleh mengakibatkan batal sembahyangnya. 



Rujukan
1. Usul Feqh - Khudari Bek
2. Usul Feqh - Dr. Wahbah al-Zuhaili
Tentang pembahagian hadis dan peristilahannya, sila dapatkan penjelasan lebih lanjut di kitab-kitab mustalah hadis.



aL-AHKAM online.

No comments:

Post a Comment